Monday, June 8, 2015

CERITA KEAGAMAAN : BENCANA ALAM BALA ATAU HIKMAH?

Bencana Alam: Bala Atau Hikmah?

Sudah tentunya kejadian gempa bumi berukukan 6.0 magnitud yang terjadi di Ranau, Sabah pada Jumaat lalu memang tidak diduga dan memberi impak yang besar kepada rakyat Malaysia.

Sejak akhir- akhir ini, bencana alam sering berlaku di dunia ini termasuk yang menimpa di negara kita Malaysia. Bencana alam merupakan sebahagian daripada sunnah alam atau sunnah Allah yang menciptakannya. Ia dijadikan sebagai pengimbang kepada kehidupan dan kemusnahan. Hakikat ini diiyakan oleh teori kehidupan dan kemusnahan. Jika dilihat dari segi luarannya, ramai yang beranggapan tragedi Tsunami, tanah runtuh, gempa bumi, hujan salji dan taufan merupakan malapetaka yang tidak lain dan tidak bukan hanya mengundang kemusnahan, kerugian dan kehilangan nyawa. Namun sebagai seorang mukmin yang dianugerahkan akal, kita harus menganalisisnya secara logik dan rasional berlunaskan ajaran Islam dan berpaksikan keimanan kepada Allah.

Persoalan yang sering dilontarkan ialah mengapakah Allah seringkali menimpakan musibah kepada orang Islam? Jika dalam konteks Tsunami di Acheh, sebuah wilayah serambi Mekah, atau gempa bumi di Pakistan dan Kashmir, apakah kerana dosa umat Islam, atau kenapa? Apakah mesej yang disampaikan oleh Allah? Apakah penduduk di negara Islam lebih berdosa daripada tempat lain atau adakah ini kejadian rambang? Hanya Allah yang Maha Mengetahui hikmah sebenar di sebalik malapetaka tersebut.

Fenomena alam yang telah terjadi boleh ditafsirkan dengan pentafsiran yang banyak. Antaranya ialah merupakan fenomena biasa yang Allah timpakan kepada umat manusia sama ada orang Islam atau bukan Islam yang merupakan kemahuan mutlak Allah. Dalam konteks ini, kita harus melihat bencana alam sebagai satu kekuasaan dan keagungan Allah yang hampir sama dengan konsep hidup dan mati. Ia juga boleh ditafsirkan sebagai cara Allah menakutkan hambaNya yang bergelumang dengan dosa dan maksiat. Tidak hairanlah jika malapetaka yang berlaku juga melanda negara yang bukan Islam. Sebagai orang Islam, kita menganggap ia sebagai musibah yang menguji tahap keimanan kita dan sejauh mana kita sabar menghadapi bencana seumpama itu.

Umat Islam hari ini, rata- rata berada dalam gelombang kelalaian yang melampaui, maka dengan cara menurunkan bencana ini, Allah akan menghidupkan kembali perasaan takut kepada Allah dan menjalinkan ukhuwah sesama Islam. Justeru, kita dapati bagaimana datangnya derma dan sumbangan yang melimpah ruah dari segenap lapisan masyarakat seantero dunia. Malapetaka yang melanda juga kita boleh tafsirkan sebagai sebab dan akibat daripada perbuatan dosa dan maksiatyang dilakukan oleh orang Islam mahupun bukan Islam. Seperti yang telah dinyatakan dalam Al Quran:

Dan (Tuhan berfirman lagi); Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.


(Surah Al-A'raaf 7: 96)

Limpahan nikmat yang dicurahkan oleh Allah terhadap hambaNya tidak terhitung banyaknya. Begitu juga dengan bencana yang berlaku bukanlah kebencian Allah semata- mata bahkan sebaliknya mengandungi rahsia dan rahmat yang tersembunyi. Kitalah yang sepatutnya bersangka baik terhadap Allah dan akur mengiktiraf kuasa Qada dan takdir Ilahi. Mengingkari hakikat ini hanyalah akan membuah penderitaan jiwa yang tidak berkesudahan. Oleh itu, celikkanlah mata hati untuk kita membongkar sebab musabab yang mencetuskan bencana tersebut.

Mungkin ramai yang beranggapan bahawa malapetaka yang melanda adalah satu kemusnahan harta dan jiwa. Apapun, itu semua adalah milik Allah. Menyorot kembali setiap bencana yang berlaku, natijahnya banyak mayat yang bergelimpangan, bangunan dan binaan semua disapu bersih tanpa belas kasihan seolah-olah menjadi padang jarak padang tekukur. Hanya dengan taufan beberapa jam telah dapat menukarkan kebanggaan manusia menjadi zaman batu. Keagungan dan kecanggihan teknologi Amerika Syarikat hanyalah propaganda semata- mata kerana kuasa Allah mengatasi segalanya. Ramai yang kagum dengan negara tersebut tetapi bencana taufan yangmelanda baru-baru ini membuka pekung Amerika Syarikat yang tidak mampu bertindak dengan lebih cepat menangani hal tersebut. Bala sebenarnya melalui Katrina, Rita atau Ophelia kepada Amerika Syarikat ialah bukan hanya kematian dan kemusnahan tetapi terbongkar rahsia kelemahan teknologi dan pengurusan mereka. Walau setinggi manapun kecanggihan sains dan teknologi, ilmu manusia yang ibarat hanya setitis berbanding dengan lautan tidak mampu menandingi kuasa yang Maha Hebat. Oleh itu, pengajarannya ialah bukan kita meninggalkan sains dan teknologi kerana ia membawa kita menerokai ilmu Allah tetapi janganlah kita terlalu taksub dengan kecanggihan sains teknologi sehingga kita melupakan terdapat Zat yang Maha Agung.

Kita sebagai umat Islam mesti mempercayai akan tibanya Hari Kiamat yang membawa kepada kehancuran. Bencana alam yang sering berlaku juga menandakan bahawa dunia ini telah pun lanjut usia dan berada di ambang kemusnahan. Dengan sekelip mata, siapa sangka bandar yang maju dan tersusun musnah seperti tanda "Armageddon" telah bermula. Inilah kekuasaan Allah yang kita sendiri pun tidak tahu bilakah datangnya Kiamat. Yang pasti ia akan berlaku.

Biar apa pun tafsiran di sebalik bencana alam, namun dalam Islam ia adalah nyata sebagai satu bala yang menimpa manusia sebagai ujian terhadap tahap keimanan dan kesabaran atau sebagai kifarat dosa yang mengangkat darjat para Mukmin. Namun, yang paling utama, hikmahnya ialah bahawa ia adalah amaran Allah tentang bagaimana kejahatan manusia sudah mencecah tahap kemuncaknya. Kemarahan ini dihamburkan oleh Allah menerusi bencana alam yang menimpa alam ini. Segala tafsiran saintifik berhubung kejadian ini tidaklah bertentangan kerana Allah telah pun menyediakan fenomena alam sesuai dengan kehendakNya. Sebagai umat Islam, wajib kita muhasabah addin untuk kembali kepada Allah dengan azam dan tekad yang lebih kuat. Itulah satu-satunya jalan penyelamat daripada kemurkaan.



P/S : Anda boleh dapatkan Produk Pemakanan Sunnah di IYAMANI G-MART
No.12 JALAN AWF 3, AMPANG WATERFRONT
68000 AMPANG, SELANGOR DARUL EHSAN
Website : http://www.iyamanigmart.com.my/

Tel / Whatssup     : 0196150599















No comments:

Post a Comment